Saturday, August 20, 2005

Where to Eat : KIRANA CAFE, RESIDENCE HOTEL KUALA LUMPUR

SEMPENA sambutan Hari Merdeka bulan ini, Kirana Cafe di Hotel Residence Kuala Lumpur mengadakan ‘Promosi Nasi Kandar’ bagi memberi pilihan kepada penggemarnya menikmati keenakan makanan yang tidak asing di Pulau Pinang.

Chef Masakan Melayu, Chef Ramli Mustapha, berkata promosi yang bermula 4 hingga 31 Ogos itu menyajikan hidangan nasi kandar pelbagai lauk-pauk berbeza.

“Antara lauk-pauk disajikan ialah kari kepala ikan, daging masak hitam, ayam kurma, telur ikan goreng, sotong dan ketam berempah serta ayam masak merah.

“Sepanjang tempoh promosi ini, sajian lauk-pauk ditukar setiap hari bagi menepati cita rasa individu selain mengelakkan pelanggan jemu,” katanya.

Katanya, promosi diadakan mendapat sambutan pelanggan tempatan dan pelancong luar negara.

“Kebanyakan masakan menggunakan rempah sepertimana resipi asli nasi kandar. Hidangan nasi kandar tidak lengkap tanpa kuah atau karinya. Oleh itu, kari kepala ikan dan daging masak hitam antara juadah wajib hidangan nasi kandar,” katanya.

Selain itu, pelanggan berpeluang menikmati hidangan pencuci mulut seperti kuih-muih, ais kacang, bubur dan buah-buahan tempatan.

“Nasi kandar dipilih sebagai makanan promosi Bulan Kemerdekaan memandangkan ia digemari dan semakin dikenali pelbagai kaum di negara ini.

“Dominasinya pula tidak hanya terhad di negeri asalnya, Pulau Pinang malah menjangkau ke seluruh negara.

Harga yang ditetapkan amat berpatutan iaitu RM20++ bagi dewasa dan RM15++ untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Promosi selama 28 hari itu dibuka untuk makan tengah hari dengan lebih 10 hidangan lauk disediakan dan untuk tempahan atau keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-2693 3333.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

|