Saturday, August 20, 2005

Where to Eat : Restoran Rasa-Rasa

Tempoyak patin Perak Rasa-Rasa

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com

DESA Sri Hartamas tidak asing lagi bagi kebanyakan warga kota Kuala Lumpur. Sebut saja namanya, terbayang suasana meriah, ceria dan riuh-rendah dengan pengunjung, khususnya pada waktu malam.

Selain terkenal sebagai tempat bersantai atau melepak dan komersial, kawasan elit itu juga menjadi lokasi menjamu selera.

Sebut saja makanan tempatan mahupun Barat, semuanya ada di sini.

Walaupun ada menu tempatan, tetapi masih sukar mencari sajian tradisional Melayu.

Namun, pembukaan Restoran Rasa-Rasa sejak awal Januari lalu mampu mengubat kerinduan bagi mereka yang teringin menikmati masakan kampung, terutama sajian Perak.

Di sini, anda boleh menemui gulai tempoyak ikan patin (RM4 sepotong); ayam kampung goreng berempah (RM4.80 untuk suku ayam); gulai daging cincang (RM3 ke RM4); asam pedas ikan pari (RM3 ke RM4); pelbagai jenis sayur (RM1 ke RM1.50) dan burung puyuh goreng berlada (RM3).

Menariknya, menurut pemilik restoran itu, Lena Shazal, 35, cara memasak dan penggunaan rempah ratus sama seperti di rumah dengan rasanya yang lazat dan menyelerakan.

Setiap hari, pelbagai menu berbeza menanti pengunjung. Untuk sarapan pagi, ada lapan set menu daripada hidangan tradisional dan Barat pada harga RM4 setiap set, termasuk kopi atau teh.

Antaranya, Set 1 mengandungi dua ketupat daun palas, kari ayam atau gulai daging; Set 2 tiga keping roti jala bersama kari ayam atau gulai daging dan Set 3, satu sosej, telur goreng dan dua keping roti bakar.

Pengunjung yang tidak mahu menikmati hidangan di atas boleh memilih nasi lemak kukus bersama sambal tumis petai, paru goreng dan telur goreng pada harga RM3.50 sepinggan.

Lena berkata, Restoran Rasa-Rasa turut menyediakan menu istimewa setiap hari, seperti Isnin dengan asam pedas ikan pari (RM3 ke RM4) dan burung puyuh goreng berempah (RM2.50 seekor).

Menu untuk Selasa pula seperti gulai tempoyak ikan patin (RM4 sepotong), Rabu; sambal tumis udang petai (RM3 ke RM4), Khamis; ayam kampung goreng berempah (RM4.80 untuk suku ayam) dan Jumaat; nasi ayam istimewa (RM6).

“Selain menu istimewa ini, kami menyediakan hidangan bufet dengan lauk pelbagai jenis seperti sambal ikan tumis, kerang atau kupang, gulai nangka, kari ayam, sotong berlada, sayur kangkung atau petola, ikan keli dan ubi kentang goreng pada harga RM6 ke RM8 seorang,” katanya.

Bubur manis

Lena berkata, pada waktu petang makanan panas seperti mi atau mihun sup daging (RM5); nasi goreng kampung dan sayur (RM5.50) dan nasi goreng ayam (RM6) mengambil tempat.

Tidak ketinggalan juga bubur manis (RM2) dan kuih-muih seperti lopes gula Melaka, karipap berinti daging dan cucur badak, masing-masing RM1 setiap satu.

Tidak lengkap jika tiada minuman. Pilih saja yang mana disukai, sama ada panas atau sejuk seperti sirap limau (RM1.70); teh ais (RM1.70); cincau (RM1.70); epal (RM3); halia panas (RM2.20); teh halia RM2.50) atau air tembikai (RM3).

Bagi yang pertama kali sampai ke sini, apa kata mencuba minuman istimewa Rasa-Rasa iaitu halia ais (RM2.50 dan RM4.80) atau jamu periuk (RM2) iaitu jamu dari Indonesia yang boleh memulihkan tenaga dan baik untuk sistem peredaran darah.

Restoran itu yang boleh menampung 44 pelanggan pada satu masa beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Jumaat, Sabtu pula dari jam 9 pagi hingga 2 petang manakala Ahad tutup.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Lena di talian 012-2362966 atau datang terus di No 14, Tingkat Bawah, Jalan 28/70A, Desa Sri Hartamas, Mont Kiara, Kuala Lumpur.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

|