Friday, August 12, 2005

Where to Eat : Restoren Noodles

11 menu enak Restoran Noodles

Oleh FUAD HADINATA YAACOB | hadinata@hmetro.com.my

SELAIN sebagai tempat transit sama ada untuk ke destinasi dalam atau ke luar negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi tempat menjamu selera yang menyediakan pelbagai juadah enak dan lazat.

Bagi yang inginkan cita rasa tempatan mahupun Barat, semuanya ada di sini, hanya tinggal buat pilihan yang mana berkenan di hati.


Daripada nasi lemak, roti canai, roti sardin, nasi dagang, laksa, nasi kerabu, nasi padang, teh tarik mahupun kopi, semuanya tersedia untuk dijamah.


Selain itu, ada pilihan untuk menikmati hidangan seperti pizza atau makanan segera, antaranya McDonald’s, Kentucky Fried Chicken (KFC), 1901 Hot Dog dan Burger King.


Namun, bagi yang inginkan kelainan atau mahukan menu berkuah, apa kata anda mencuba pelbagai aneka mi di Restoran Noodles. Di sini ada 11 menu berasaskan mi yang dicipta oleh chef berpengalaman.


Antaranya, Chicken Herb Noodle Soup iaitu campuran beberapa herba tempatan bersama ayam kukus. Rasanya sungguh enak, apatah lagi bila dinikmati dalam keadaan panas.


Menu ini dijual pada harga RM18.80 semangkuk dan boleh dinikmati untuk dua orang.


Anda juga boleh mencuba Tom Yam Special Soup, iaitu campuran mi dan beberapa perisa, termasuk sayur-sayuran. Rasanya pedas dan menyelerakan. Harganya RM16.90.


Dalam pada itu, pengunjung boleh memilih menu lain, antaranya Taiwan Beef Noodle Soup (RM16.90), Penang Curry Noodle Soup (RM14.90), Penang Assam Laksa Soup (RM15.90), Beef Ball Noodle Soup (RM16.90) dan Hong Kong Style Wanta Mee Dry (RM14.90).


Untuk menu sampingan, disediakan dua juadah iaitu Wanta Set Soup/Dry (RM6) dan Dampling Set Soup/Dry (RM6). Sebagai minuman, pengunjung boleh memilih teh Cina pada harga RM2.50 secawan (panas atau sejuk) selain Ice Lemon Tea (RM8) dan jus buah-buahan seperti mangga, oren dan limau pada harga (RM8).


Pengurus Operasi restoran itu, Zainal Mohd Nor, berkata setiap juadah ada rasa tersendiri, sama ada pedas, kurang pedas atau tidak pedas langsung.


Katanya, ia bersesuaian dengan cita rasa masyarakat negara ini selain pengunjung luar, terutama dari China, Taiwan, Jepun dan Korea.


“Resipi di sini kami cipta sendiri melalui Chef Wong dengan harapan dapat memenuhi selera sama ada pengunjung luar atau rakyat tempatan. Setakat ini penerimaan daripada pelanggan sungguh baik, sekali gus membuatkan kami ingin mempelbagaikan menu pada masa depan,” katanya.


Restoran itu yang dibuka 18 Mei lalu terletak di bangunan satelit KLIA, iaitu untuk pelepasan antarabangsa. Ia beroperasi 24 jam sehari dengan 12 kakitangan.


Ia terletak di bawah pengurusan Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd atau lebih dikenali Eraman Malaysia, iaitu anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).


Sesiapa yang berminat mengetahui atau ingin menikmati juadahnya boleh menghubungi Eksekutif Kanan Pengiklanan dan Perhubungan Awam Eraman, Lorraine Rabel di 03-87768600 atau datang terus ke Mezzanine Level, South Wing, Satellite Building, KLIA, Sepang, Selangor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

|