Friday, August 12, 2005

Where to Eat : Restoran Khanom Jeen

Khanom Jeen menu diet

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

TIDAK ramai mengenali khanom jeen yang enak dimakan dengan kari ikan haruan atau kari hijau bersama bebola ikan, herba segar dan telur masin.

Khanom jeen, sejenis mi tradisional asli Thai, biasanya boleh dinikmati di warung tepi jalan di negara itu kerana ia amat digemari golongan yang mengamalkan diet.

Justeru, bagi warga tempatan yang ingin mencuba keenakan mi ini, Restoran Khanom Jeen di No 29, USJ 10/1F, Subang Jaya menyediakan hidangan istimewa berkenaan pada harga amat berpatutan.

Pemilik restoran itu, Alicia Au, berkata menyediakan hidangan enak berkenaan memberi pengalaman baru kepada pelanggannya untuk menikmati hidangan istimewa Thai selain tomyam dan kangkung goreng belacan.

“Di Thailand, khanom jeen sememangnya begitu menyelerakan apabila dimakan dengan kari ikan haruan kerana ia amat berkhasiat dan sesuai untuk diet.

“Selain menggunakan 100 peratus ikan haruan segar, kari ini turut dicampur dengan herba tradisional seperti akar kunci kerana berkhasiat untuk badan kekal sihat,” katanya.

Au berkata, bukan saja menggunakan ramuan dan herba asli tetapi penyediaan kari dalam hidangan khanom jeen juga tidak ditambah dengan sebarang pewarna atau perisa.

Katanya, biarpun Restoran Khanom Jeen baru dibuka hampir dua bulan, apa yang cuba diperkenalkannya dan kakaknya, Evon Au selaku chef bertanggungjawab mampu diterima pelanggan.

“Saya gembira apabila kelainan hidangan yang kami sediakan di restoran ini diterima baik pelanggan hingga ada kalangan mereka meminta supaya ditambah menu baru berikutan tidak banyak hidangan enak Thai dikenali di sini.

“Antara sajian ditawarkan ialah sup tomyam udang (RM11.50), nasi ayam Thai (RM7.50), kari ayam massaman (RM10.50), sosej salad (RM6.80), daging panggang bersalad (RM7.50) dan salad ikan tuna (RM8.90),” katanya.

Menurut Au, harga itu berpatutan kerana mengambil kira kemampuan pelanggan disebabkan restorannya terbuka kepada pelbagai kaum dan peringkat pendapatan.

Katanya, Restoran Khanom Jeen kini mampu memuatkan 80 pelanggan dan selesa bagi mereka yang menitikberatkan ketenangan serta keselesaan ketika menikmati hidangan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

|